Sunday, February 1, 2009

Sajak Aku Menjadi Lebih Berani

Sajak Aku Menjadi Lebih Berani merupakan sajak yang berjiwa wanita. Sebab saya berpendapat sedemikian kerana penulis sajak ini wanita dan unsur-unsurnya banyak berbau wanita. Jadi, ini memang bertemakan wanita terutama wanita zaman kini yang menghadapi cabaran yang maha hebat. Saya harap pelajar perempuan saya akan mendapat banyak pengajaran melalui sajak ini.Pertama sekali sajak ini menonjolkan sikap wanita yang berhati ikhlas dalam perhubungan. Dalam persahabatan wanita lebih bersikap menerima daripada menunjukkan sesuatu. Dalam sajak ini wanita itu memahami sikap rakannya yang mengambil kesempatan atau berbohong dalam perhubungan mereka.Dalam rangkap kedua penyajak cuba menunjukkan betapa wanita begitu sensitif jiwanya. Wanita boleh menerima tindakan fizikal kawannya tetapi sukar menelan kenyataan apabila kawannya meluahkan kata-kata yang memedihkan jiwa apabila mendengarnya. Mungkin disebabkan naluri wanita yang begitu mudah terusik menyebabkan wanita ini dianggap lemah tetapi mereka mampu menangkis cabaran lain.Usah lupa, perbezaan antara aku dengan kau. Saya selalu tekankan di dalam kelas. Anda kena faham dan catatkan perbezaan itu. Begitu juga dengan maksud rangkai kata hati dan rasa mengajarku.Mungkin rangkap ketiga paling menarik dikaji iaitu rangkap ini seolah-olah memberi harapan agar wanita tidak takut. Diri wanita harus tabah meneruskan kehidupan kerana mereka sudah banyak belajar daripada pengalaman. Pengalaman ditipu, pengalaman dipermainkan, dan pengalaman dibiarkan keseorangan untuk menjadi satu aset kepada wanita menerima diri mereka untuk hidup di dunia ini dengan sebaik mungkin.Sajak ini turut memperjuangkan hak wanita atau lebih tepat emansipasi wanita. Hak mereka untuk berjaya dalam pelajaran, hak mereka untuk berkerjaya, hak untuk memilih sahabat, dan hak untuk berdikari. Semua ini menjadi lambang wanita era moden ini. Kini, ramai wanita yang memiliki kereta sendiri, rumah sendiri dan hidup sendirian. Bukan bermakna mereka sombong tetapi bukti mereka juga mampu hidup seiring kaum lelaki.Bagi saya wanita yang digambarkan di dalam sajak ini amat menarik kerana wanita menarik pada firasat saya ialah wanita yang tahu keinginannya. Dia juga tahu kerjayanya. Dia juga sedar tanggungjawabnya dalam persahabatan. Dan dia juga mampu berdikari dalam dunia yang tidak pernah berbudi terhadap kaum hawa ini. Mungkin sajak ini mampu menjadi satu nasihat yang berguna untuk renungan pelajar perempuan semua. Simpan azam anda untuk berjaya

http://azman-duniaku.blogspot.com/2007_02_01_archive.html

Karangan tentang banjir

Banjir yang melanda negara kita telah mengejutkan pelbagai pihak. Masing-masing sibuk mengutarakan pendapat mereka tentang faktor-faktor yang mendorong wujudnya fenomena alam ini. Mereka berpendapat pandangan mereka lebih tepat. Sebenarnya, banyak perkara yang mampu dilakukan untuk menangani mala petaka ini sebelum, semasa dan selepas.Kerajaan seharusnya memastikan sistem perparitan dalam keadaan baik. Pihak berkuasa tempatan haruslah menjalankan pemeriksaan parit dan longkang di kawasan yang memang dianggap berisiko tinggi untuk menerima banjir. Sikap telus dalam aspek ini memastikan aliran air tidak akan terganggu atau tersumbat. Seterusnya, air tidak boleh bertakung sebegitu mudah. Sistem perparitan yang baik juga memastikan air mudah surut selepas banjir.Malah, kerajaan seharusnya menubuhkan pusat kajian banjir kebangsaan. Pusat ini berperanan untuk menyelaraskan semua aktiviti berkaitan dengan banjir. Pusat ini bertanggungjawab mengeluarkan amaran banjir dan memastikan setiap bantuan disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir dengan lancar. Dengan kewujudan pusat ini semua perancangan dan tenaga tidak dibazirkan tetapi digunakan sebaik mungkin. Malah, pusat kebangsaan banjir ini juga mampu memastikan tidak berlaku penyelewengan dalam pemberian bantuan banjir.Malahan, semua pasukan keselamatan seperti polis, tentera, dan pasukan pertahanan awam perlu bersedia. Semua cuti mereka harus dibekukan ketika musim hujan. Mereka juga harus diberi latihan untuk mengendalikan mangsa-mangsa banjir atau keadaan banjir dengan lebih cekap lagi. Penggunaan peralatan moden dan cukup seperti bot dan helikopter harus ditingkatkan. Persediaan ini memastikan semua mangsa akan terselamat kerana mereka akan diselamatkan oleh pasukan yang sudah terlatih dalam situasi bahaya seperti banjir.Kutipan derma harus dijalankan oleh kerajaan beberapa bulan sebelum musim hujan berlaku. Kutipan derma ini penting supaya semua masyarakat negara berkongsi masalah negara tanpa memilih kaum. Wang derma yang sudah dikutip boleh digunakan untuk merancang strategi yang mampu untuk menyekat masalah banjir ini daripada berlanjutan. Kutipan derma ini juga membantu kerajaan kerana kewangan kerajaan tidak akan terjejas lantaran rakyat sendiri sanggup berkorban demi kebajikan rakyat senegara.Selain itu, kerajaan seharusnya menjalankan kempen kesedaran terhadap isu ini melalui media massa. Dalam kempen itu, pelbagai cara atau kaedah menghadapi banjir dijelaskan kepada rakyat. Pengetahuan ini mampu digunakan oleh mangsa-mangsa banjir dengan lebih bijak demi keselamatan mereka.. Kemahiran ini juga memastikan mangsa-mangsa banjir mengetahui cara-cara mendapatkan maklumat seperti kewujudan pusat-pusat bantuan banjir dan keadaan cuaca semasa. Pengetahuan ini memastikan mangsa-mangsa banjir tidak panik.Kesimpulannya, banjir memang sukat diatasi tetapi sikap berwaspada mampu mengurangkan impak bencana ini. Semua pihak tanpa perlu menuding jari haruslah memainkan perana mereka dalam isu ini. Rakyat seharusnya lebih bersikap proaktif dengan membuat persediaan awal mereka sendiri tanpa bergantung kepada kerajaan. Kita tidak mahu pelbagai masalah wujud selepas bencana ini surut.Mungkin peribahasa ‘Sediakan payung sebelum hujan’ boleh menjadi renungan semua.


http://azman-duniaku.blogspot.com/2007_02_01_archive.html